“Wahai orang yang beriman, rukuk serta sujudlah (mengerjakan solat) dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan-Nya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat.”
(Surah al-Haj ayat 77)
Di dalam kitab Al-Quran, terdapat banyak ayat yang menyeru kita untuk melakukan kebaikan dan berluma-lumba ke arahnya.
Mereka yang segera melakukan kebaikan , akan mendapat pujian bukan hanya sesama manusia, bahkan dari Allah yang turut menjanjikan ganjaran yang tidak terhingga. Tuntutan dalam melakukan kebaikan seperti mentaati Allah dan melakukan kebajikan, bukan sahaja pada diri kita, malah nabi dan rasul yang diutuskan juga telah diperintahkan, seperti yang dapat dilihat pada ayat 73, Surah An-nabiya yang bermaksud, “Dan kami wahyukan kepada mereka mengerjakan kebaikan...”
Melakukan kebajikan sesama manusia adalah kebaikan, bicara baik yang keluar dari mulut juga kebaikan dan usaha untuk meningkatkan taraf hidup dan masyarakat adalah kebaikan. Tabiat semulajadi manusia yang bersih menuju kepada kebaikan. Semua manusia suka kepada kebaikan dan tertarik kepadanya, termasuk mereka yang kerap melakukan kesalahan, terpendam kebaikan di dalam nalurinya. Kebaikan mempunyai takrifan yang luas dan ukuran tersendiri berdasarkan subjek. Selalunya ia mengikut pertimbangan akal, dengan pengaruh adat dan budaya masyarakat. Disebabkan itu juga kadangkala sesuatu yang baik bagi sebuah masyarakat, dianggap sebaliknya bagi masyarakat lain.
Al-Quran juga ada menegaskan bahawa mereka yang berbuat kebaikan walaupun seberat zarah, akan dilihatnya, sebagaimana yang telah dijelaskan dalam Surah Az-Zalzalah.
Dalam kitab al-Muwatta’, diriwayatkan satu hadis bermaksud: “Seorang miskin telah meminta makanan dari Aishah r.a. dan di hadapannya ada beberapa biji anggur, lalu Aishah berkata kepada seseorang: Ambil sebutir dan berikan kepadanya! Orang yang disuruh itu hanya memerhatikan sebutir anggur terbabit kerana kehairanan. Maka Aisyah pun berkata: Apakah engkau hairan! Berapa bezanya antara sebiji ini dengan sebesar zarah. Setiap amalan baik yang dihulurkan kepada manusia, bahkan kepada haiwan makhluk lain yang hidup di muka bumi ini, sekalipun kecil adalah diredai Allah.”
Kebaikan tidak semudah dikata, malah bagi sesetengah orang sukar untuk melaksanakannya. Oleh itu, usaha ke arah kebaikan perlu kepada latihan dan kebiasaan sehingga ia sebati dan mesra dengan hati. Melatih dan membiasakan amalan baik sejak kecil, seperti dilakukan guru terhadap kanak-kanak di pusat asuhan dan sekolah kini adalah asas terpuji dan baik untuk pembentukan akhlak yang mulia. Islam menyuruh kita supaya mendidik anak dengan keperibadian Muslim yang mulia, membiasakannya dari kecil supaya mengamalkannya apabila meningkat remaja.Kebaikan adalah medan akhlak Islam dan seperti dikatakan daerahnya cukup luas, tetapi melalui wahyu ia dijelaskan secara terperinci.
Melemparkan wajah yang manis, senyum bila bertemu, membuang sesuatu yang berbahaya di jalanan dan memulakan langkah ke masjid juga adalah kebaikan yang tanpa kita sedari. Dengan segala amal yang baik, diberi pula ganjaran dariNya.
Dan tanpa disedari, waktu pun cepat berlalu kerana matahari dan bulan tidak bersifat menunggu. Justeru, usaha dan tindakan kebaikan sewajarnya tidak ditunggu, malah patut berlumba-lumba untuk melakukannya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Bahagialah (kerana kebaikan yang amat banyak) bagi orang yang baik kerjanya, baik dan bersih hatinya, mulia pula lahirnya dan jauh manusia dari kejahatannya. Bahagialah orang yang beramal dengan ilmunya, membelanjakan (untuk kebajikan) lebihan dari hartanya dan menahan lebihan dari kata-katanya.” (Hadis riwayat Tabrani)
“WE ARE REAL MUSLIMS”
No comments:
Post a Comment