Tuesday, February 21, 2012

Wali Allah dan Karamahnya [part 1]

Alhamdulillah, waktu winter break ini lah percutian yang paling bermanfaat yang pernah ana lalui. Syukur, Allah datangkan satu jemputan untuk satu program jaulah di Kaherah, menziarahi makam-makam wali Allah swt (>25 makam). Pengalaman yang sangat bermanfaat, bak kata Ustaz Nazrul, menziarahi orang mati seumpama menziarahi orang yang masih hidup. Hikmah dan berkat yang dirasai tak mampu untuk diceritakan pada antum. Sehinggakan terasa kehilangannya bila hendak meninggalkan makam selepas ziarah. Allahu ‘Alam.

InshaAllah, ana cuba kongsikan pengalaman dan ilmu yang ana terima seharian jaulah tersebut, nama Wali Allah dan karamahnya. Subhanallah………


[Al-Fadhil Ustaz Nazrul]

__________________________________________________________________


1.
Sheikh Ahmad Al-Ghumari


Ketika beliau hampir wafat, beliau berusaha untuk bangun (dari tempat yang direhatnya), tetapi muridnya tidak membenarkan agar beliau dapat berehat sebaiknya. Tapi beliau cuba untuk terus bangun, namun muridnya sekali lagi tidak membenarkan. Dan kali yang ke-3 beliau cuba untuk bangun, beliau berjaya untuk bangun dan sempat mengucapkan, “Ahlan wa sahlan Ya Rasulullah”. Rupa-rupanya, Nabi saw (bersama Malaikat maut) datang dan sambut beliau ketika beliau wafat. Dan tak lama selepas itu, beliau terus wafat.

Beliau mendapat gelaran Al-Hadith. Gelaran ini hanya diberi kepada sesiapa yang menghafal lebih dari 300 000 hadith Rasulullah saw.




* * * * *

2. Sidi Abu Muhammad Abdullah



* * * * *

3. Sidi Ali Al-Khoas





Beliau digelar An-Nasabah, kerana antara karamahnya adalah dapat mengetahui nasab Nabi Adam as dan nasab binatang. Ini bermakna apabila beliau bertemu dengan sesiapa sahaja (manusia atau pun binatang) beliau dapat mengetahui asal usul keturunan makhluk tersebut.

Terdapat karamah lain, beliau menerima ilham terus daripada Allah dalam bidang perubatan. Ada juga masyarakat yang mohon beliau untuk menulis kitab tentang perubatan, namun beliau tidak mampu. Kerana hikmah ubat yang diberikan hanya berhasil apabila menerima ilham dari Allah yang Maha Kaya.

Selain itu, beliau sangat teliti dalam perniagaannya iaitu dengan menjual minyak wangi. Sifat waraknya terserlah ketika jualbeli berlangsung, beliau sapukan tisu (atau sejenis kain kecil) kepada bekas minyak buat timbangan minyak yang dijualnya kepada pembeli, kerana kesan minyak yang tertinggal di bekas itu juga adalah hak kepunyaan pembeli.

* * * * *

4. Sheikh Ramly

Beliau merupakan seorang yang fakih dalam Mazhab Imam Syafi’e. Hampir kesemua ilmunya diajarkan pada anaknya.




Baru-baru ini, makamnya runtuh akibat tanah mendap. Jadi, tindakan yang diambil adalah dengan memindahkan jasadnya ke makam yang baru. Ketika itu, Allah yang Maha Agung zahirkan jasad dan wajahnya, dan kelihatan janggutnya yang masih sempurna. Bak kata ulama’, “Allah swt telah haramkan bumi makan jasad para Anbia”.



* * * * *

5. Imam Sya’rani




Beliau merupakan murid kepada Sidi Ali Al-Khoas dan juga menjadi guru kepada Imam Munawi. Beliau juga berfatwa dengan kesemua mazhab (Syafie, Maliki, Hambali dan Hanafi).


Pada suatu majlis ilmu beliau, terdapat kehadiran seekor anjing (jelmaan jin) yang sedang menggigit kertas. Anjing itu membawa beberapa soalan-soalan yang tidak dapat dijawab oleh ulama’-ulama’ jin dan ingin disampaikan pada Imam Sya’rani untuk dijawabnya. Pada mulanya, orang ramai tidak membenarkan anjing itu masuk ke dalam majlis ilmu tersebut. Namun, hakikat anjing itu adalah jin, dan ia jalan terus menembusi dinding untuk mendekati Imam Sya’rani. Dan beliau mampu menjawab soalan-soalan itu. (sejarah lengkap mengenai soalan-soalan dari anjing (jin) itu boleh dirujuk kitab karangan Imam Munawi, kalau tidak silap)



Terdapat satu lagi kisah dalam majlis ilmu, ketika beliau bersama murid-muridnya. Sebaik sahaja beliau menyentuh satu bekas makanan di dalam majlis tersebut, bekas makanan itu pun bercakap(suara), “Apabila wali Allah sudah menyentuhku, maka aku tidak benarkan sesiapa pun selepas itu”. Tak lama kemudian, bekas itu pecah dengan sendirinya. Karamah wali Allah ini disaksikan oleh murid-murid Imam Sya’rani.

* * * * *

6. Sheikh Ali Nuruddin


Beliau merupakan orang yang pertama mengadakan majlis selawat berjemaah di Masjid Azhar. Antara amalan harian beliau adalah selawat ke atas Nabi saw sebanyak 10 000 kali. Beliau mula berselawat pada waktu Isyak sehingga waktu Subuh.

Dan antara karamah yang diceritakan adalah dalam peristiwa kapal tenggelam. Dalam peristiwa itu, sekumpulan yang turut tenggelam bersama kapal, datang pada Sheikh Ali Nuruddin dan mengucapkan terima kasih kerana menyelamatkan mereka. Beliau berapa pelik kerana tiada satu pun usahanya menyelamatkan mangsa-mangsa kapal tenggelam itu. Namun mereka tetap yakin bahawa Sheikh itu yang menyelamatkan mereka. Hakikatnya, Allah yang Maha Pemurah telah menyelamatkan mereka dengan menzahirkan seorang yang menyerupai Sheikh Ali Nuruddin untuk tarik mereka keluar dari ditenggelami air.

* * * * *

7. Imam Sultan Hanafi

Gelaran ‘sultan’ diberikan padanya, apabila orang ramai lebih mengikuti kata-katanya dari mengikuti kata-kata pembesar (raja/sultan/ketua) pada waktu itu. Anak-anak murid beliau juga adalah Wali Allah. Hal ini apabila Sultan Hanafi ingin memanggil semua anak muridnya, beliau hanya meninggikan suara dan anak-anak muridnya akan hadir padanya tidak kira sejauhmana jarak tempat dan masa. Allah swt permudahkan perjalanan wali-waliNya.

Imam Sultan Hanafi merupakan seorang yang sangat pemurah. Pada suatu hari, ketika beliau pulang dari Mekah dan membawa pulang air zamzam, terdapat seorang insan datang kepadanya dan meminta air zamzam tersebut. Dengan sifat pemurah yang ada pada beliau, beliau merelakan pemberian air zamzamnya pada insan itu. Dan setibanya beliau di rumah, anak-anak beliau bertanyakan tentang air zamzam. Sebagai seorang ayah dan seorang yang kaya dengan sifat pemurah, beliau tidak menjawab bahawa ‘air zamzam itu sudah tiada’. Antara langkah yang diambilnya adalah dengan berdoa pada Allah, memohon pertolongan.

Dengan keizinan Allah yang Maha Pemurah, terpancutlah satu mata air, yang mana rasa airnya itu seumpama air zamzam sebenar. Allah itu Maha Kuasa, telaga air itu masih wujud di masjid Sultan Hanafi yang berada di Kaherah. Dan sesiapa yang datang menziarahi makamnya, bolehlah minum dan rasai air dari telaga itu.



* * * * *

8. Saidatina Zainab Binti Saidina Ali

Beliau merupakan kakak kepada saidina hasan dan husin.



* * * * *


9. Muhammad Bin Sirin


Terdapat ulama’ yang bermimpi bahawa kubur Sheikh Muhammad Sirin terletak di Kaherah (merujuk kepada gambar). Namun makamnya yang sebenar berada di Basrah.


Antara kata-kata beliau adalah, “Barangsiapa yang mimpi berjumpa dengan Allah, maka dia akan masuk ke syurga”.

* * * * *

10. Saidatina Nafisah





Saidatina Nafisah adalah cucu baginda, Muhammad saw. Berdekatan dengan maqamnya, terdapat tempat khalwat wali Allah yang lain.

Terdapat suatu kisah yang menarik, sewaktu pinangan suaminya (Ishak Muktaman) ditolak oleh penjaga Saidatina Nafisah. Ishak Muktaman berasa kecewa atas ketidakpenerimaan pinangannya, lalu beliau pergi ke makam Nabi Muhammad saw. Beliau mengatakan bahawa pinangannya itu bukanlah atas dasar lain melainkan agama yang ada pada Saidatina Nafisah. Selepas itu, Nabi saw hadir dalam mimpi penjaga Saidatina Nafisah agar dikahwinkan bersama Ishak Muktaman. Maka, kahwinlah mereka seperti yang perkatakan oleh Nabi saw (dalam mimpi itu). Seperti pendapat para ilmuan, tiada siapa yang boleh ingkar, kalau itulah suruhan dari kekasih Allah, Muhammad saw.




Menurut pendapat para ulama’, di kawasan makam Saidatina Nafisah adalah tempat mustajab bagi doa yang khusus berkenaan jodoh.




Pernah seketika dahulu, suaminya ingin memindahkan jasad (mayat) Saidatina Nafisah ke Madinah. Namun orang-orang Mesir pakat ramai-ramai untuk memujuk Ishak Muktaman agar tidak dipindahkan jasad itu, dan moga ada barakah jatuh di Mesir. Dan Nabi saw juga turut hadir dalam mimpi Ishak Muktaman, mengatakan perkara yang sama. Moga ada barakahnya di bumi Mesir, inshaAllah.