Tuesday, June 28, 2011

Sajak muzikal


Salam alaykum, apa khabar semua? Terima kasih lah kerana masih sudi hadir membaca di sini. Rasanya dah agak lama ana tak update blog. Biasalah, ‘sibuk’ memanjang, dengan menguruskan rumah, program, persediaan untuk imtihan, internet pun baru je aktif.


Tak apalah, untuk masa ni ana nak share sikit pengalaman ber’sajak’ dalam majlis Dinner Batch 2nd year Medical Students. Bila ana cakap pasal sajak, mesti teringat kenangan zaman sekolah lama.


Ada beberapa kali juga ana bersajak dalam kelas, majlis sekolah, pertandingan sekolah dan banyak program lagi. Sajak yang ana sampaikan selalu bukanlah disebabkan ana mahir bersajak, tapi sokongan asas rakan-rakan dan cikgu sendiri.


Dan kadang kala orang memandang enteng dalam mendeklamasikan sajak. Itu normal. Ana sendiri tak berapa minat. Tapi macammana lahirnya rasa minta dalam menyampaikan sajak? Teringat suatu ketika dahulu, semasa ana berumur 14 tahun. Ana tersilap gaya dan cara dalam bersajak sehingga digelak ketawakan dalam kelas. Macam mana tu? Silap ana yang bersyair sedangkan sajak disuruhnya. Agak kelakar bila difikirkan balik.


Lama kelamaan, ana sering berspontan dalam menyampaikan puisi, sehingga tercebur masuk dalam macam-macam pertandingan. Dan ana juga sering diminta untuk berpuisi di dalam majlis sekolah. Kadang kala ada yang hanya diberi masa dalam 30minit untuk prepare. Bila keadaan ini berlaku berulang-ulang kali, rasa nervous pun dah hilang, nak berspontan pun terasa mudah.


Sehingga tiba suatu masa, kenangan yang agak manis, ana sempat berhadapan dengan Sasterawan Negara, A. Samad Said di dalam sebuah pameran buku. Masa tu, rakan-rakan ana excited dan seboleh-boleh menyuruh ana untuk deklamasikan sajak beliau. Kebetulan waktu itu, ada puisi yang baru ditulisnya.




“Persembahan sajak (3 mood) yang kurang berunsurkan metafora, sebab nak selarikan dengan background music. (1st time) Agak susah untuk spontan (lontar kata with feelings) sebab kene ikut irama sekali. But I've tried my best.. So, dengarkanlah.. huhu

Segera beramal



“Wahai orang yang beriman, rukuk serta sujudlah (mengerjakan solat) dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan-Nya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat.”

(Surah al-Haj ayat 77)


Di dalam kitab Al-Quran, terdapat banyak ayat yang menyeru kita untuk melakukan kebaikan dan berluma-lumba ke arahnya.


Mereka yang segera melakukan kebaikan , akan mendapat pujian bukan hanya sesama manusia, bahkan dari Allah yang turut menjanjikan ganjaran yang tidak terhingga. Tuntutan dalam melakukan kebaikan seperti mentaati Allah dan melakukan kebajikan, bukan sahaja pada diri kita, malah nabi dan rasul yang diutuskan juga telah diperintahkan, seperti yang dapat dilihat pada ayat 73, Surah An-nabiya yang bermaksud, “Dan kami wahyukan kepada mereka mengerjakan kebaikan...”



Melakukan kebajikan sesama manusia adalah kebaikan, bicara baik yang keluar dari mulut juga kebaikan dan usaha untuk meningkatkan taraf hidup dan masyarakat adalah kebaikan. Tabiat semulajadi manusia yang bersih menuju kepada kebaikan. Semua manusia suka kepada kebaikan dan tertarik kepadanya, termasuk mereka yang kerap melakukan kesalahan, terpendam kebaikan di dalam nalurinya. Kebaikan mempunyai takrifan yang luas dan ukuran tersendiri berdasarkan subjek. Selalunya ia mengikut pertimbangan akal, dengan pengaruh adat dan budaya masyarakat. Disebabkan itu juga kadangkala sesuatu yang baik bagi sebuah masyarakat, dianggap sebaliknya bagi masyarakat lain.


Al-Quran juga ada menegaskan bahawa mereka yang berbuat kebaikan walaupun seberat zarah, akan dilihatnya, sebagaimana yang telah dijelaskan dalam Surah Az-Zalzalah.


Dalam kitab al-Muwatta’, diriwayatkan satu hadis bermaksud: “Seorang miskin telah meminta makanan dari Aishah r.a. dan di hadapannya ada beberapa biji anggur, lalu Aishah berkata kepada seseorang: Ambil sebutir dan berikan kepadanya! Orang yang disuruh itu hanya memerhatikan sebutir anggur terbabit kerana kehairanan. Maka Aisyah pun berkata: Apakah engkau hairan! Berapa bezanya antara sebiji ini dengan sebesar zarah. Setiap amalan baik yang dihulurkan kepada manusia, bahkan kepada haiwan makhluk lain yang hidup di muka bumi ini, sekalipun kecil adalah diredai Allah.”


Kebaikan tidak semudah dikata, malah bagi sesetengah orang sukar untuk melaksanakannya. Oleh itu, usaha ke arah kebaikan perlu kepada latihan dan kebiasaan sehingga ia sebati dan mesra dengan hati. Melatih dan membiasakan amalan baik sejak kecil, seperti dilakukan guru terhadap kanak-kanak di pusat asuhan dan sekolah kini adalah asas terpuji dan baik untuk pembentukan akhlak yang mulia. Islam menyuruh kita supaya mendidik anak dengan keperibadian Muslim yang mulia, membiasakannya dari kecil supaya mengamalkannya apabila meningkat remaja.Kebaikan adalah medan akhlak Islam dan seperti dikatakan daerahnya cukup luas, tetapi melalui wahyu ia dijelaskan secara terperinci.


Melemparkan wajah yang manis, senyum bila bertemu, membuang sesuatu yang berbahaya di jalanan dan memulakan langkah ke masjid juga adalah kebaikan yang tanpa kita sedari. Dengan segala amal yang baik, diberi pula ganjaran dariNya.


Dan tanpa disedari, waktu pun cepat berlalu kerana matahari dan bulan tidak bersifat menunggu. Justeru, usaha dan tindakan kebaikan sewajarnya tidak ditunggu, malah patut berlumba-lumba untuk melakukannya.


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Bahagialah (kerana kebaikan yang amat banyak) bagi orang yang baik kerjanya, baik dan bersih hatinya, mulia pula lahirnya dan jauh manusia dari kejahatannya. Bahagialah orang yang beramal dengan ilmunya, membelanjakan (untuk kebajikan) lebihan dari hartanya dan menahan lebihan dari kata-katanya.” (Hadis riwayat Tabrani)



“WE ARE REAL MUSLIMS”



Thursday, June 2, 2011

Gambaran kiamat


Dalam perjalanan pulang, aku tersesat keliru dengan arah mana ku tuju. Keretaku terpusing entah ke utara, selatan, timur atau pun barat. Keadaan semakin kabut pabila angin meniup kencang, langit bergelap, cahaya pun hilang.


Jalan-jalanraya terhakis, menyebabkan kebanyakan kenderaan pun terbenam. Ada perkara yang asing lagi berlaku pabila jalan-jalanraya itu sendiri terapung beralun seolah-olah ada gelombang yang sedang laju ke arahku. Bangunan kiri dan kanan ku bergegar, runtuh yang semakin tambah gempanya.


Di kala memandu kereta, aku terus memecut laju entah mana hendak dituju. Degupan jantung usah dicerita, barangkali seribu denyut seminit. Perasaan takut semakin membuak, panik, dengan keadaan semakin sesak gempanya, entah ke mana lagi hendakku lari.


Hanya berbalik pada Rabbil ‘Alamiin, yang menentukan segalanya. Hati ini tak henti-henti memohon keampunan pabila terdetiknya akal tentang kiamat. Adakah hari ini pengakhir segala hari? Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku. Dalam kekeliruan ku memandu kereta, ku terus ke arah sebuah bangunan(hospital) yang hampir (jalanku buntu).


Setibanya di dalam bangunan tersebut, ku terlihat segolompok orang awam yang kononnya selamat dari bencana yang sedang berlaku di luar sana. Ku bersyukur, dalam kebuntuan dan ketakutan yang ku alami sendirian akhirnya ada bertemankan ramai orang. (mungkin semua sedang berlindung)


Secara tiba-tiba bangunan ini terasa ‘dibolak-balikkan’, di mana graviti pun asyik bertukar dan beralih arah. Ada yang ke kanan, ke atas, ke belakang, semua pergerakan tak dapat dikawal. Keadaan semakin bising, serabut dan kini tiada lagi kudrat untuk mengelak atau melarikan diri…..


Hatiku menjerit takut, ya Allah selamatkanlah hambaMu ini..


Dan akhirnya, aku terjaga dari mimpi, kira-kira jam 3.30am yang riuh dengan jam loceng tuk bangun subuh. Alhamdulillah, mungkin inilah gambaran apa yang bakal berlaku kelak, malah akan berlaku perkara yang lebih dasyat lagi seperti apa yang difirmankan oleh Allah swt dalam Al-Quran.


Astaghrirullah..” ku terlafaz, dan aku terus bangun dari tempat tidur.